Tuesday, June 15, 2010

PERINGKAT-PERINGKAT GOLONGAN YANG BERZIKIR..


Dalam bahasa Melayu, zikir bererti mengingat atau menyebut
yang ada hubung kait dengan Allah sama ada dengan perkataan,
lisan atau dengan perbuatan iaitu melibatkan seluruh anggota
lahir (jawarih) kita. Atau dengan hati, ia berlaku dengan perantaraan
mahupun dengan tidak ada perantaraan sama ada
secara nyata (jahran) mahupun secara senyap (sirran).

Perlu diingat, bahawa zikir yang paling besar dan agung ialah
melalui sembahyang lima waktu. Selain ia bersifat menyembah,
di dalamnya ada berbagai bentuk zikir termasuk lafaz Al Jalaalah
dan dua kalimah syahadah. Oleh itu jangan ada di waktu sembahyang
itu sama ada hati, lafaz yang diwajibkan serta gerakgeri
kita tidak menggambarkan menyembah dan mengingati
Allah SWT yang Maha Agung.

Kalau di dalam sembahyang ketiga-tiga anggota kita itu
sudah tidak menggambarkan kita berzikir kepada Allah, jangan
haraplah di luar sembahyang kita boleh mendisiplinkan ketigatiga
anggota kita itu menepati berzikir kepada Allah. Allah Taala
berfirman:

Maksudnya: “Dirikanlah sembahyang kerana mengingati
Aku.” (Toha: 14)

Di sini disebutkan golongan-golongan yang berzikir seperti
berikut:

1. Golongan yang langsung tidak menyebut Allah atau nama
Allah. Kalaupun mereka menyebut Tuhan, tapi bukan Tuhan
yang sebenar kerana mereka menyebut tuhan-tuhan yang
mereka sangka-sangka. Tuhan yang mereka khayal-khayalkan,
tuhan palsu mereka, ertinya mereka menyebut bukan
kepada sasaran Tuhan yang sebenar. Inilah golongan orang
yang kafir.

2. Golongan yang menyebut atau mengingat Allah dengan
lidah semata-mata tapi tidak dihayati oleh hatinya atau
mengingati sekali-sekala. Dengan kata-kata yang lain hatinya
tidak benar-benar merasa bertuhan dan tindak-tanduk
anggota lahirnya tidak mengikut syariat. Secara akal dan
ilmu mereka percaya adanya Tuhan, yakin Tuhan itu bersifat
begitu begini. Kalaupun mereka membaca lafaz-lafaz zikir
seperti lafaz Subhanallah, Alhamdulillah, Wallahu akbar,
ya Latif, ya Ghafar dan lain-lain, hanya menyebut pada lidah
(lisan) tidak di hati. Inilah golongan yang lalai. Golongan
yang lalai ini boleh jatuh kepada fasik, zalim, kalau dibiarkan
boleh jatuh kepada kafir secara tidak sedar.

3. Golongan yang mengingati Allah SWT serta menyerah diri
pada Allah di waktu susah, waktu terdesak, ketika mendapat
bala bencana, maka barulah dia perlu kepada Allah,
barulah bersyariat. Di waktu itu dia mengharap sangat kepada
Allah, mengadu meminta pertolongan. Apabila berhadapan
dengan kesenangan atau masalah telah selesai
mereka melupai Tuhan, mereka tidak perlu kepada Tuhan
lagi. Itulah golongan pendusta.

4. Golongan yang berzikir sama ada hati, perkataan dan fiziknya
(jawarihnya) sedikit lalai. Iaitu masih banyak lagi mengingati
perkara-perkara yang harus (mubah) atau kalau perkataan
dan perbuatannya banyak kepada yang harus kalau
terlanggar perkara-perkara yang haram pun sedikit sangat.
Inilah golongan Ashabul Yamin atau orang yang soleh.

5. Golongan yang seluruh anggota yang tiga itu sentiasa
berzikir dengan Allah dan sentiasa mengikut syariat. Kalaupun
ada lalai kerana masih terlibat dengan hal atau perkaraperkara
yang harus (mubah). Inilah golongan muqarrobin.

6. Golongan yang benar-benar tenggelam mengingati Allah,
mabuk mencintai-Nya, perkataan dan seluruh jawarihnya
benar-benar mengikut syariat dan dapat membesarkan
Tuhan. Perkara-perkara yang mubah pun mereka tidak
terlibat. Kalau ada pun terlalu terbatas. Mereka benar-benar
mabuk dengan Tuhan. Hatinya penuh rindu atau terlalu
takut dengan Tuhan. Nampak terserlah kebesaran Tuhan
itu pada kehidupan lahir mereka iaitu di dalam sikap dan
perihal kehidupan lahir mereka. Tanda-tanda kebesaran
Tuhan itu (ayatullah) benar-benar wujud pada diri mereka.
Itulah golongan siddiqin.

Sebenarnya kita diperintahkan agar setiap gerak-geri, sikap,
tindak-tanduk kita, sama ada lisan, hati, anggota lahir (jawarih)
adalah menggambarkan dan melambangkan kita itu ada hubung
kait dengan Allah Taala. Itulah yang dikatakan zikir itu.

oleh : Suhaimi Abdul Rahim

No comments:

Post a Comment